Thursday, February 21, 2013

Tips memelihara haiwan kecil untuk anak-anak di rumah


Tips memelihara haiwan kecil untuk anak-anak di rumah

1. Pilih haiwan kecil yang jinak untuk anak-anak. Kebiasaannya, kanak-kanak akan mudah tertawan dengan binatang yang comel berbulu, aktif dan manja seperti kucing, arnab.

2. Kanak-kanak sukakan haiwan yang dapat mereka sentuh. Berikan mereka peluang untuk mengusap, membelai, dan melihat haiwan tersebut dengan dekat. Jangan terkejut jika anda memelihara ikan dan anak anda mencelupkan tangan dalam akuarium!

3. Perkara yang paling penting, pastikan anak anda tidak mempunyai sebarang penyakit atau alahan. Silalah berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu mengenai hal ini.

4. Pilih haiwan kecil yang mudah untuk kanak-kanak kendali. Haiwan seperti hamster breed roborovski memang sangat comel, tetapi anda pasti tidak mahu susah hati sekiranya anak-anak anda bermain dan tertinggalkannya di mana-mana! :)



5. Kongsi dengan anak anda bagaimana cara-cara untuk menjinakkan haiwan. Cara mengusap haiwan tersebut, cara memegang dan menyokong haiwan tersebut dan taktik ‘mengorat’ haiwan! Sesetengah haiwan mempunyai tulang yang lembut dan mudah patah. Pesan pada anak-anak agar berhati-hati memegang haiwan.

Pesanan : Jangan terkejut sekiranya anak anda tiba-tiba menjadi seorang yang banyak bertanya, aktif, responsif, terlalu ingin tahu, peka, dan pemerhati yang cekap! 

Selamat mencuba,

Salam sayang,
Fatimah Zahra'.

Faedah memelihara haiwan peliharaan untuk kanak-kanak




Faedah memelihara haiwan peliharaan untuk kanak-kanak.

Tidak mudah mendidik anak-anak menyayangi haiwan apatah lagi yang mempunyai trauma atas kejadian-kejadian tertentu. 

Sesetengah kanak-kanak dilahirkan dengan sikap belas dan perasaan sayang yang amat tinggi pada haiwan. Namun, terdapat juga kanak-kanak yang tidak begitu berminat akan binatang. Menyedihkan lagi, jika mereka bertindak menyakiti haiwan-haiwan.

Walaubagaimanapun, sikap mencintai haiwan adalah penting untuk memupuk perasaan kanak-kanak mencintai alam sekitar, bertolak ansur dengan makhluk-makhluk sekitarnya, menanam perasaan sayang dalam diri, dan sikap bertanggungjawab! 

Kajian menunjukkan, kanak-kanak yang telah didedahkan dengan tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan bersikap lebih bertoleransi dan mudah bersosial di sekolah mahupun ketika dewasa kelak.

Sangat gembira untuk berkongsi,
Fatimah Zahra'.

Tips cetus kreativiti bersama anak-anak di rumah :)




Tips cetus kreativiti bersama anak-anak di rumah :) 

yeay!!

1. Tanam rumput di halaman rumah. 

Jika dibandingkan dengan simen, anak-anak akan mempunyai lebih banyak idea untuk dilakukan di atas tanah dan rumput seperti bermain bola, memerhatikan ulat, mengorek tanah, meneroka persekitaran dengan deria-deria hebatnya atau sekadar berguling di atas rumput!

2. Cat dinding rumah dengan warna-warna terang yang mencetus inspirasi seperti warna kuning, merah, oren.

Warna sangat mempengaruhi emosi manusia. Cat dinding dengan warna tersebut di ruang rumah yang dikhususkan untuk anak anda bermain. Tidak perlu cat keseluruhan rumah ya..! :)

3. Perbanyakkan bahan bacaan yang mempunyai gambar.

Gambar adalah pencetus kreativiti yang paling kuat. Semak buku-buku bergambar yang ada di rumah. Minda manusia amat terpengaruh dengan gambar terutamanya kanak-kanak. Jika mereka melihat gambar 'hot balloon', mereka akan mula berfikir cara-cara untuk mengapungkan belon.

4. Gunakan kelebihan bahan-bahan kitar semula.

Bukan sahaja ia menjimatkan, tetapi sangat berguna! Simpan dan berikan kebebasan kepada anak-anak untuk menggunakan bahan-bahan terpakai seperti kotak, botol plastik atau botol kaca, dan lihat bagaimana kreativitinya mewarnai hidup anda. :)

5. Bela haiwan peliharaan.

Bela haiwan di rumah seperti kucing, arnab, hamster, kura-kura dan mana-mana haiwan yang anak anda minati. Tetapi, pastikan anak-anak anda tidak mempunyai alergi terhadap haiwan-haiwan tersebut. Jika anda baru berjjinak-jinak dalam memelihara haiwan, pilihlah haiwan yang mudah untuk dijaga terlebih dahulu.

Selamat mencuba! 

Penuh cinta
,
Fatimah Zahra'.

Wednesday, November 28, 2012

7 Teknik menggalakkan anak anda memberus gigi

Anak anda SUSAH memberus gigi?

Berulang kali anda telah PENAT menasihatinya?

Anda sudah berPUTUS ASA ??

Tunggu!! Bukan anda seorang sahaja yang mengalami masalah ini..





Mari, saya kongsikan 7 teknik menggalakkan anak anda memberus gigi dengan gembira!

1. Jadikan amalan memberus gigi bersama-sama dengannya
Ramai ibu bapa yang hanya menyuruh anak-anaknya memberus gigi, tetapi anak-anaknya tidak pernah melihat ibu bapa mereka sendiri memberus gigi. (kerana anda memberus gigi sendirian! :)  Ingat, anak-anak mudah mengikut sesuatu tabiat melalui model atau contoh perbuatan.


2. Belikan berus gigi yang disukainya
Bukan berus gigi percuma atau lebihan di rumah. (kalau dia sukakannya, tak mengapa) Ajak anak anda ke kedai dan biar dia memilih sendiri berus gigi yang disukainya. Dia akan berasa suatu kebebasan memilih, memupuk rasa kepunyaan terhadap barang tersebut, dan akan berasa bertanggungjawab untuk menggunakan barang tersebut.

3. Latih komitmen diri anak anda dengan berjumpa doktor gigi mengikut jadual
Apabila anak anda membuat sesuatu, dia mahukan sesuatu 'result' atau 'impak' kepada perbuatannya. Menepati jadual doktor gigi dapat membantu anak anda untuk komited dengan tabiat memberus gigi, kerana dia tahu, satu masa nanti dia perlu menunjukkan giginya yang cantik kepada doktor! :)

4. Tunjukkan gambar kanak-kanak lain yang rosak giginya
Semudah itu. Tidak perlu berleter, atau memarahinya jika dia enggan menurut nasihat anda. Kongsikan bersama anak anda gambar-gambar kanak-kanak lain yang gigi mereka telah rosak. Secara jujur, kongsi perasaan simpati anda, rasa sakit yang mungkin dialami oleh kanak-kanak tersebut. Tanya pula, pendapat anak anda.

5. Beritahu anak anda tak perlu memberus gigi, biarkan sahaja ia rosak
Reverse psychology. Daripada anda memberitahu galakan yang positif, anda tukar cara tersebut. Anak anda akan rasa tercabar untuk menurut perintah anda dan akhirnya, dia akan melakukan perkara yang sebaliknya!

6. Tangkap gambar dan senyum dengan menunjukkan gigi
Biasakan melatih anak anda menunjukkan betapa berharganya gigi dia. Kanak-kanak yang mempunyai gigi yang cantik akan dengan bangganya menunjukkan gigi mereka dengan pelbagai cara.

7.  Puji anak anda bahawa dia memiliki gigi yang lebih cantik lagi sekiranya dia rajin memberus gigi.
Anak anda sukakan pujian. Itu sudah tentu. Pandu anak anda bagaimana hendak mencapai perkara itu dengan lebih baik lagi.

More Tips & Tricks?
Visit me at http://www.facebook.com/fatimahzahrahanan

Thursday, August 11, 2011

Tips membantu Si Kecil yang pemalu


Tips membantu Si Kecil yang pemalu :-

1)   Tunjukkan padanya bahawa anda seorang yang mesra, mudah didekati.
Sudah menjadi kelaziman manusia mudah tertarik dengan unsur personaliti yang mesra dan peramah. Begitu juga dengan si kecil. Berikan senyuman setiap kali melihat si kecil dan berikan sentuhan fizikal seperti mengusap kepalanya.

2)    Perlahan-lahan, tidak terlalu drastik.
Jika anda seseorang yang masih asing pada si kecil, jangan terlalu cepat untuk memaksanya menerima anda. Berikannya peluang untuk selalu melihat kelibat anda.
Sentuhan yang beransur-ansur juga boleh membantu seperti sebelum terus mendukungnya, anda membelai dan mengusap belakang badannya terlebih dahulu.

3)   Dapatkan kerjasama daripada orang dewasa yang lain.
Elakkan menggunakan kata-kata ancaman kepada kanak-kanak dengan menakut-nakutkannnya dengan seseorang seperti,  “Jangan lompat, nanti nenek marah”. Apabila memarahinya, fokus pada perbuatan bukan ancaman. “Kita gunakan kerusi untuk duduk.”
4)      
      Bina kepercayaan diri kanak-kanak untuk anda.
Kanak-kanak sentiasa mencari ruang kepercayaan, keselesaan dan pergantungan pada orang dewasa. Kanak-kanak percaya apabila orang dewasa mampu menunjukkan jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapinya. Contoh, si kecil tak mampu mencapai tin biskut yang terletak di almari yang tinggi. Bantu dia dengan mendukungnya agar dia boleh mencapai tin tersebut dengan sendiri.
Kadangkala, orang dewasa mampu mereka masalah, atau permainan untuk membuatnya memerlukan pertolongan anda. Contoh, “Iman nak main pancing ikan tak? Abang boleh tunjukkan” Gunakan kreativiti anda untuk memancing minat kanak-kanak.
5)    
      Alih perhatiannya
Jika si kecil memang jelas sukar didekati, cuba tidak terlalu kelihatan anda mahu mendekatinya. Layan si kecil seperti biasa, tidak terlalu berlebihan dan tidak terlalu tidak peduli.
Jika terdapat kanak-kanak lain, cuba libatkan si kecil bersama kanak-kanak lain secara tidak langsung. Si kecil akan cuba belajar bagaimana hendk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan mahupun orang dewasa secara tidak formal.
6)      
      Pupukkan keyakinan dalam diri si kecil
Jika dia melakukan kesalahan, tidak perlu memarahi atau menengkingnya melainkan ia benar-benar sesuatu yang serius seperti si kecil bermain pisau.
Gunakan teka-teki seperti “elok tak kalau kita makan berjalan-jalan?”

7)   Ambil hati si kecil
Jangan lokek dengan pujian, apabila si kecil melakukan sesuatu perkara yang menyenangkan anda, berikan dia pujian seperti, “pandainya adik pakai baju sendiri.”
Untuk menarik perhatian kanak, gunakan nama panggilan yang dia sukai. Jika dia sudah terbiasa dipanggil dengan panggilan ‘abang’, panggil dia ‘abang’. Apabila berbual atau bercakap dengannya, pastikan kedudukan mata anda selaras dengan matanya agar dia tidak perlu mendongak untuk bercakap dengan anda. Tunjukkan bahawa anda sangat berminat dengan perbualan antara kalian berdua.

Bacakan mereka cerita
Kanak-kanak sangat suka mendengar cerita. Walaupun si pencerita merupakan orang asing bagi si kecil, tetapi kebiasaannya ia tidak menjadi masalah. Jadikan kebolehan anda bercerita sebagai daya penarik anda untuk mendekati si kecil.

Bersabar J
Sebagai orang dewasa yang lebih berpengalaman berbanding si kecil, orang dewasa perlu mempunyai kekuatan kendiri dan daya peransang yang kuat terhadap si kecil. Si kecil akan banyak belajar dan terpengaruh daripada anda, bagaimana anda bertindak, bagaimana penyelesaian anda terhadap sesuatu masalah. Adakah anda seorang yang mudah berputus asa atau pemarah? Bersabarlah..

Bimbing kanak-kanak. Bila perlu malu?
Kanak-kanak terbahagi kepada tiga :-
1.    Kanak-kanak yang mudah dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran.
2.    Kanak-kanak yang agak mengambil masa untuk menyesuaikan diri bergantung pada kesediaan diri kanak-   kanak itu sendiri.
3.    Kanak-kanak yang sangat sukar menyesuaikan diri.

Walaubagaimanapun, bimbingan orang dewasa adalah sangat perlu untuk memupuk keyakinan dalam diri kanak-kanak. Jangan mudah mengusik kanak-kanak dengan perkataan malu seperti “eee..malunya tak pakai baju”, “malunya makan comot..”. Gunakan malu untuk perbuatannya, bukan pada diri kanak-kanak tersebut. Contohnya, “Kita flush selepas menggunakan tandas. Malu, jika orang lihat tandas kita kotor, kan?”
 

Thursday, July 14, 2011

Model terbaik bagi kanak-kanak.

Siapakah model terbaik untuk kanak-kanak?


Sudah tentulah orang dewasa.


Kanak-kanak belajar melalui persekitaran. Menurut teori Bandura, kanak-kanak belajar dengan meniru perbuatan orang dewasa. Contohnya; seorang kanak-kanak memerhatikan abangnya menggunakan kerusi untuk membuka peti sejuk. Dari situ, dia belajar secara tidak langsung iaitu salah satu cara untuk membuka peti sejuk ialah dengan memanjat kerusi.


Kanak-kanak belajar dengan baik melalui pemerhatian. BUKAN dengan penerangan/sogokan maklumat daripada orang dewasa. Banyakkan soalan bercapah untuk menggalakkan pemikiran kritikal kanak-kanak. Contohnya; "Buah Epal hanya ada sebiji. Bagaimana abang dan adik dapat sama-sama makan?" Kanak-kanak akan berusaha berfikir untuk menyelesaikan masalah disamping memupuk sikap berkongsi.


Kesimpulannya,


Apakah peranan orang dewasa?


>menunjukkan contoh yang terbaik dalam menyelesaikan masalah. (menggunakan perbuatan disamping perkataan)
contoh: tutup pintu perlahan-lahan sambil menjelaskan padanya pintu perlu ditutup perlahan-lahan agar tidak menganggu orang lain.


>menggunakan soalan bercapah. (yang memerlukan jawapan daripada kanak-kanak)
contoh: daripada menggunakan soalan "adik nak susu?"


tukarkan kepada "adik mahu minum apa?" galakkan dia menggunakan lebih daripada 3 perkataan.







Bagaimanakah hendak menerapkan nilai-nilai Islam?


>Selain menerangkan betapa pentingnya solat, ahli keluarga perlu memberi contoh terbaik dalam melaksanakan solat. Yang sebaiknya, ialah solat berjemaah. Jadikan ia rutin harian di mana kanak-kanak merasakan ia satu keperluan untuk mentaati Allah. Kanak-kanak lambat laun akan perlahan-lahan belajar mempratikkan solat yang betul melalui pemerhatian dan kemudian, orang dewasa bolehlah secara berperingkat menerangkannya cara-cara yang betul.  


Apa yang penting?


>Jangan mudah melatah dengan sikap kanak-kanak.
>Berikan peluang kepada mereka untuk bermain-main. Tidak perlu terlalu tegas atau terlalu memanjakan.
>Elakkan daripada menempelak/menengking mereka sekiranya mereka pertama kali melakukan kesalahan.
>Tidak perlu terlalu mengharapkan kesempurnaan daripada anak anda. Bersabarlah, dan belajarlah menghargai dalam mendidik. Sentiasa selitkan kata-kata pujian yang ikhlas.


Wallahua'lam.  
 

tamansikecil Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting